KELEBIHAN BAGI PENUNTUT ILMU
Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH Tuhan sekalian alam, tidak dapat dinafikan lagi bahawa penuntut ilmu atau pejalan untuk ilmu terlalu banyak nikmat dan ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH taala. Sebagaimana firmannya :
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.
[al-Mujadalah:11]
Dengan apa yang dijelaskan bahawa Allah taala telah menjanjikan darjat kelebihan bagi penuntut ilmu. SUBHANALLAH ! Wahai penuntut ilmu ini adalah kelebihan yang ALLAH berikan kepada kamu. Maka jadikan lah peluang dan ruang ini sebagai satu tempat untuk lebih mengenali dan mendekati ALLAH taala, pencipta diri kita ini.
Kata Nabi SAW :
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.
[Riwayat Muslim (4867)]
Kata-Kata Hikmah Berkaitan Kepentingan Ilmu
- Telah berkata Ibn Abbas RA: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
- Telah berkata Abu Darda’ RA: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.
- Telah berkata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.
- Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
Penutup
Kesimpulannya, banyak lagi hadith-hadith lain yang menceritakan akan kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Tambahan pula, kita perlulah sentiasa membetulkan niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan terutamanya dalam menuntut ilmu. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita ilmu-ilmu yang bermanfaat dan memberi kita kefahaman dalam agama ini agar kita dapat sampaikannya kepada orang lain. Amin.
Wallahua’lam
Comments
Post a Comment