Sambungan kepada Perkara - Perkara Yang Diadakan - Adakan Dalam Bulan Rejab
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
الحمد لله حمداً يوافي نعمه ويكافئ مزيدة , يا ربَنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك وعظيم سلطانك , والصلاة والسلام على سيَدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين , وأسأل الله أن يهدينا سواء صراطه المستقيم
Segala puji bagi ALLAH penguasa pemilik sekalian alam, yang menganugerahkan segala nikmat, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam dan keatas ahli keluarganya dan juga keatas sahabat - sahabat baginda sekalian.
*sambungan kepada perkara - perkara yang diadakan - adakan dalam bulan Rejab
3. Umrah khusus dalam bulan Rejab
Nabi Muhammad SAW tidak mengkhususkan untuk melakukan umrah pada bulan ini. Malah baginda SAW sendiri tidak pernah melaksanakan umrah pada bulan Rejab ini. Ini adalah berdasarkan hadith riwayat Bukhari dan Muslim, kata Mujahid :
حدثنا قتيبة حدثنا جرير عن منصور عن مجاهد قال دخلت أنا وعروة بن الزبير المسجد فإذا عبد الله بن عمر رضي الله عنهما جالس إلى حجرةعائشة وإذا ناس يصلون في المسجد صلاة الضحى قال فسألناه عن صلاتهم فقال بدعة ثم قال له كم اعتمر رسول الله صلى الله عليه وسلم قال أربعا إحداهن في رجب فكرهنا أن نرد عليه قال وسمعنا استنان عائشة أم المؤمنين في الحجرة فقال عروة يا أماه يا أم المؤمنين ألا تسمعين ما يقول أبو عبد الرحمن قالت ما يقول قال يقول إن رسول الله صلى الله عليه وسلم اعتمر أربع عمرات إحداهن في رجب قالت يرحم الله أبا عبد الرحمن ما اعتمر عمرة إلا وهو شاهده وما اعتمر في رجب قط
Maksudnya : Aku dan ‘Urwah bin al-Zubair masuk ke dalam masjid (Masjid Nabawi). Ketika itu ‘Abdullah bin ‘Umar sedang duduk bersandar pada bilik A’isyah RA, lalu beliau ditanya : “ Berapa kali Rasulullah melakukan ‘Umrah?” Beliau menjawab : “ 4 kali, salah satunya dalam bulan Rejab. ” (kata Mujahid) kami tidak suka untuk membantah beliau. ” Katanya lagi : “ Kami juga mendengar bunyi siwak yang digunakan oleh ‘Aisyah di dalam bilik beliau.” Lalu ‘Urwah berkata: “Wahai ibu, wahai ibu kepada orang-orang yang beriman, tidakkah anda dengar apa yang dikatakan oleh Abu Abd al-Rahman ( Abdullah bin Umar ).” Kata ‘Aisyah : “ Apa yang dia kata? ” Jawab ‘Urwah : “ dia berkata bahawa Rasulullah SAW telah melakukan umrah sebanyak 4 kali, salah satunya dalam bulan Rejab. ” Jawab A'isyah : “ Semoga Allah merahmati Abu ‘Abd al-Rahman, tidak pernah baginda melakukan satu umrah, melainkan beliau ( Ibn ‘Umar ) bersama dengan baginda SAW, dan tidaklah pernah baginda melakukan umrah dalam bulan Rejab sama sekali. ” ( hadith riwayat al - Bukhari dan Muslim )
4. Bukti tidak sahih tentang isra' dan mi'raj Nabi SAW pada 27 Rejab
Kata Ibnu Rejab : “ dan diriwayatkan dengan sanad yang tidak sahih, daripada al-Qasim bin Muhammad bahawa al - Isra’ yang berlaku pada Nabi SAW ialah pada 27 Rejab. Perkara ini diingkari oleh Ibrahim al-Harbiy dan selainnya.”
As - Syeikh al - ‘Allamah Ali bin Ibrahim bin Daud bin al - Atthor al-Syafie RH berkata: “ ( bulan ) Rejab tiada sesuatu kelebihan di dalamnya, melainkan ia sama dengan bulan - bulan yang lain, dan ia termasuk dalam bulan yang Haram. Sebahagian ulama menyebut peristiwa al - isra’ dan al - mi’raj berlaku dalam bulan ini, namun ianya tidak thabit.
Para ulama berbeza pendapat bilakah tarikh sebenar berlakunya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj kepada 5 pendapat. Sekiranya diandaikan sekalipun peristiwa ini benar-benar berlaku pada malam 27 Rejab. Maka hal ini tidaklah menunjukkan ada sesuatu amalan khusus pada tarikh tersebut. Nabi SAW tidak pernah mengkhususkan malam tersebut demikian juga para sahabat mahupun para Tabi’ien. Tidak ada juga solat yang dinamakan sebagai solat Malam al-Mi’raj yang ditunaikan pada malam 27 Rejab seperti yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam.
5. Solat al - Raghaib
Solat khusus yang dilakukan pada jumaat pertama atau terakhir dalam bulan Rejab. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
بدعة باتفاق أئمة الدين، لم يسنها رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا أحد من خلفائه، ولا استحبها أحد من أئمة الدين؛ كمالك والشافعي وأحمد وأبي حنيفة والثوري والأوزاعي والليث وغيرهم،والحديث المروي فيها كذب بإجماع أهل المعرفة بالحديث
Maksudnya : Bid’ah ( solat al - Raghaib ) dengan kesepakatan para imam agama. Tidak pernah disunnahkan oleh Rasulullah SAW, tidak juga seseorang dari para khulafa’ baginda. Tidak juga digalakkan oleh salah seorang dari kalangan para imam agama seperti Malik, Syafie, Ahmad, Abu Hanifah, al-Thauri, al-Awzaie dan selain mereka. Hadith yang diriwayatkan tentangnya adalah dusta dengan kesepakatan para ahli yang mengetahui tentang hadis.
Ibn al-Nuhas berkata : Ia adalah Bid’ah, hadith yang ada tentangnya adalah palsu dengan kesepakatan semua para ulama hadis.
Syeikh al - Islam Ibn Taimiyyah berkata : Adapun solat al - Ragha’ib, tiada asal padanya, bahkan ia adalah perkara rekaan, tidak disunatkan melakukannya, tidak secara jamaah mahupun bersendirian. Telah thabit di dalam Sahih Muslim Nabi SAW melarang mengkhususkan malam Jumaat untuk berqiyamullail dan siang harinya untuk berpuasa. Athar yang menyebut tentangnya adalah dusta dan palsu dengan kesepakatan semua para ulama, tidak pernah menyebut tentangnya salah seorangpun dari kalangan Salaf dan para imam.
6. Beranggapan bulan Rejab bulan mengeluarkan zakat
Tiada asal perkara tersebut di dalam sunnah, tidak diketahui juga perkara tersebut dari salah seorang generasi salaf… dalam apa keadaan sekalipun, diwajibkan zakat apabila sempurna haulnya maka wajib mengeluarkan zakat dalam apa sahaja bulan yang telah cukup haulnya.
7. Sembelihan al - Atirah
Hukum asal melakukan sembelihan dalam bulan Rejab adalah harus sama seperti keharusan menyembelih haiwan ternak pada bulan-bulan yang lain juga. Namun yang dilarang ialah mengkhususkan sembelihan kerana berkeyakinan ada kelebihan yang tersendiri. Hal ini sama seperti sembelihan yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah yang dinamakan sebagai al-‘Atirah.
Ulama' bersepakat dalam mengharamkan sembelihan ini berdasarkan hadith riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RH :
لا فَرَعَ وَلا عَتِيرَةَ
Maksudya : Tiada Fara’ demikian juga ‘Atirah
Fara’ adalah sembelihan anak unta pertama yang dilahirkan oleh seseekor unta betina kerana mengharapkan keberkatan dan banyak anak. Ali bin Sultan Muhammad al - Qariy menyebut : Fara’ ialah anak pertama yang dilahirkan. Dikatakan juga seseorang jahiliyyah dahulunya, jika ternakan untanya mencecah 100 ekor, lalu dia menyembelih seekor lembu, maka ini dinamakan Fara’.
Manakala al - Atirah pula ialah seekor kambing yang disembelih dalam bulan Rejab untuk berhala. Dicurahkan darah sembelihan tersebut ke atas kepala berhala. Sembelihan ini pernah dilakukan oleh salah seorang ulama Islam bernama Ibn Sirin. Beliau lakukannya sebagai beribadah kepada Allah SWT bukan untuk berhala. Kata Ali Muhammad al-Qariy di dalam al -MIrqah : “ barangkali tidak sampai kepada beliau perkara ini telah dibatal/dimansuhkan ''.
Selain itu Ibn Rejab berkata : disamakan larangan sembelihan al - Atirah dalam bulan Rejab, diadakan dalam bulan Rejab itu satu musim dan perayaan, seperti memakan manisan dan seumpamanya. Telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA dimana beliau memakruhkan dijadikan bulan rejab sebagai perayaan.
Comments
Post a Comment